Pages

Monday, October 19, 2015

Percaya.

     Sejak waktu itu, berubahlah keadaan. Hati yang masih ragu-ragu menempuh hidup, sekarang sudah yakin. Kepercayaan yang tadinya setengah-setengah dari kedua belah pihak, sekarang sudah bulat dan tidak ada ragunya lagi. Medan perjuangan pun terbukalah, tidak ada lagi lurah yang dalam, bukit yang tinggi. Sebab kehidupan itu adalah laksana bahtera jua, si suami adalah nakhoda, si isteri juragan, dengan berdualah selamat pelayaran itu.

Matahari pun terbitlah dari timur, panca warna mega membawa nikmat angin sepoi-sepoi basah, udara pagi yang lembayung meliputi alam. Malaikat yang bertakhta di atas awan berarak, laksana tersenyum melihat makhluk keluar dari rumahnya masing-masing, mencari tutup badannya, mencari isi perut, mencari peruntungannya di bawah kolong langit yang luas terbentang itu.

Di antara begitu makhluk yang percaya akan kekayaan Tuhan, memang bumi membuahkan padi dan tanah menghasilkan emas, yang tidak putus asa, yang percaya bahawa selama nyawa dikandung badan, rezeki telah tersedia, adalah terdapat kedua-dua suami isteri itu, keluar dengan hati yang gembira, percaya akan pertolongan Tuhan, dan yakin akan perhubungan yang ada dalam sanubari mereka sendiri, iaitu cinta suami isteri yang sejati!

Majulah ke muka, tempuhlah lautan Baharullah yang luas itu, beranikan hati menghadapi gelombang yang bergulung-gulung. Kerana dengan bermain ombak dan membiasakan menempuh gelora itulah makanya penyakit mabuk laut akan hilang. Pada tiap-tiap bertemu dengan suatu kesusahan dan suatu halangan dalam bahtera rumah tangga, itu adalah ujian; bila sampai ke sebaliknya tertegak pulalah sebuah tiang yang teguh dan sendi yang kuat, untuk membina rumah kecintaan itu. Di manakah letaknya keberuntungan kalau bukan dalam hati?

Bolehkah keberuntungan itu dinamakan kepada wang berbilang dan emas berkarung-karung? Bukan, bukan dari sana asal mulanya, sebab ramai orang dilingkungi oleh kebahagiaan dunia, tetapi hatinya senantiasa kesal.

Ada pun sebab-sebab yang menimbulkan rasa beruntung dalam hati itu, jalan rasa percaya-mempercayai dalam rumah tangga, antara suami dengan isterinya, demikian juga kaum kerabat sekalian. Keberuntungan tidak dapat dinilai dengan barang.

- Hamka, Merantau ke Deli.


Subhanallah. Such a beautiful self reminder, isn't it?
Percayakan Dia. Percayakan dia.

Hingga syurga (no cheesiness intended).